Zaman Khulafa Ar-Rasyidin

BAB 10: MASALAH KHILAFAH

Pada zaman Rasulullah s.a.w. yang menjadi pemimpin masyarakat dan negara ialah baginda sendiri. Beliau memegang dua macam kekuasaan; kekuasaan agama dan kekuasaan dunia. Sebagai pemimpin agama, beliau menerima syariat (wahyu) dari Allah S.W.T., dan sebagai pemimpin dunia (politik) beliau melaksanakan syariat itu. Dengan kewafatannya selesailah tugasnya sebagai pembawa syariat, akan tetapi sebagai pemimpin dunia, tugasnya belum lagi selesai, dan perlu disambung. Dan mereka yang menyambung atau ‘mengganti’ tugas-tugasnya inilah yang disebut ‘Khalifah’ (Pengganti Nabi). Ada pun gelaran ‘Al-Rashidin’ yang diberikan kepada Khalifah-Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Al-Khattab, Usman Affan dan Ali bin Abu Talib tersebut, itu kerana mereka dipandang sebagai Khalifah yang sempurna dan diberi petunjuk untuk melaksanakan Syariat Islam dengan ikhlas.

1. ALIRAN-ALIRAN FAHAM TENTANG KHILAFAH

Pada dasarnya terdapat dua aliran yang besar mengenai masalah jawatan khalifah selepas Rasulullah. Pertama aliran yang berpendapat bahawa jawatan ini haruslah dipegang oleh keturunan tertentu. Dan keduanya mereka yang berpendapat sebaliknya, iaitu jawatan ini tidaklah harus dipegang oleh sesuatu keturunan tertentu.

Mengenai aliran pertama ini, ianya terbahagi kepada dua puak pula. Puak pertama memperjuangkan agar jawatan ini dipegang oleh keturunan Quraisy sahaja, iaitu dari kalangan Muhajirin. Pendapat yang mendapat sokongan majoriti (Ra’yul-jumhur) ini dipelopori oleh Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Al-Khattab, Abu Ubaidah AI-Jarrah dan lain-lain sahabat berdasarkan Hadis “Imam itu dari kalangan Quraisy”. Seperti kata lbnu Khaldun, sebabnya jawatan khalifah itu dikhaskan kepada orang-orang Quraisy ialah kerana mereka lebih maju daripada kabilah-kabilah lain yang menyebabkan kepimpinan mereka diakui oleh semua pihak (majoriti). Sekiranya khalifah dilantik dari kalangan mereka, adalah dijangka yang tidak akan ada mana-mana kabilah yang berani menentangnya.

Tentang puak yang kedua dari aliran pertama ini, mereka menuntut agar jawatan khalifah dikhaskan kepada keluarga Bani Hashim sahaja, atau lebih tepat, dari kaum kerabat Rasulullah sendiri. Puak ini diperjuangkan oleh Ali bin Abu Talib dan penyokong-penyokongnya, dengan alasan yang sama seperti yang dikemukakan oleh golongan pertama tadi. Sebab itu ketika membidas hujah Abu Bakar tersebut, Ali berkata: “Mereka berhujah dengan berdasarkan pada pokok (puak Quraisy), tetapi mereka lupa buahnya (keluarga Nabi)”. Ertinya ketika Abu Bakar membangkitkan soal hak Quraisy untuk memegang teraju pemerintahan, keturunan Quraisy yang lebih dekat kepada Nabi dilupakan. Walau bagaimanapun Ali kemudiannya tunduk juga kepada pendapat majoriti, iaitu setelah kematian isterinya Fatimah binti Muhammad yang dikatakan kuat berkempen untuk suaminya menjadi khalifah, serta tidak mengiktiraf Abu Bakar AI-Siddiq.

Ada pun aliran yang kedua – bahawa jawatan khalifah tidak semestinya didasarkan kepada keturunan atau keluarga tertentu – ianya merupakan pendapat golongan Ansar. Sebagai hujahnya, mereka mengatakan bahawa merekalah yang banyak memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat Islam serta memberi perlindungan di kala Nabi dan golongan Muhajirin terpaksa meninggalkan Makkah. Ataupun sebagai suatu tolak ansur, biarlah orang-orang Ansar mempunyai ketua mereka sendiri dan orang-orang Muhajirin mempunyai ketua sendiri juga. Bagaimanapun pendapat ini ditewaskan oleh aliran “pro-Quraisy” tadi. Penerimaan mereka berlaku di Balai Bani Saidah ketika orang-orang Ansar sedang merancang untuk melantik tokoh-tokoh dari kalangan mereka, tiba-tiba datanglah Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah yang kemudiannya berjaya mematahkan hujah-hujah golongan Ansar ini. Dan serentak itu juga mereka membaiat Abu Bakar AI-Siddiq sebagai Khalifah yang pertama.

2. SISTEM PEMILIHAN KHALIFAH

Pada hakikatnya Islam tidaklah menetapkan sistem tertentu dalam pemilihan seseorang khalifah atau pemimpin. Apa yang dituntut hanyalah agar dihormati konsep ‘syura’ (Ali Imran: 159, Al-Syura: 38), iaitu semacam sistem demokrasi menurut fahaman biasa. Bagaimanapun sistem demokrasi Islam ini pun ada batasannya pula, iaitu permesyuaratan hanyalah dibenarkan dalam soal-soal yang masih kabur hukumnya dalam Islam (Zhanni), sedangkan dalam soal-soal yang sudah jelas dan tegas (Qat’i) hukum-hukumnya, seperti hukuman sebat dan potong tangan, mesyuarat tidak perlu lagi. Yang diperlukan hanyalah setakat bagaimana hendak menjalankan hukuman-hukuman yang sudah ditetapkan itu.

Justeru tiadanya sistem tertentu dalam pemilihan seseorang khalifah itulah maka timbulnya berbagai cara dalam pemilihannya. Dalam konteks ini, terdapat empat (4) cara yang dilakukan ketika melantik Khulafaur-Rashidin. Pertamanya melalui Bai’at atau pemberian taatsetia, seperti yang dilakukan terhadap Abu Bakar AI-Siddiq, yang mana berlangsung dalam dua peringkat. Peringkat pertama dinamakan ‘Al-Bai’ah Al-Khassah’, iaitu pemberian taat setia dari golongan-golongan yang khas di dalam perhimpunan di Saqifah Bani Saidah saja. Kemudiannya baru Abu Bakarmenerima’AI-Bai’ah AI-’Ammah; iaitu pemberian taat setia oleh rakyat jelata pada hari yang kedua di Masjid Nabi.

Cara yang keduanya ialah melalui wasiat, seperti yang berlaku pada Umar AI-Khattab apabila dia ditunjuk sebagai pengganti oleh Abu Bakar sendiri. Perlunya ditunjuk penggantinya lebih dulu ialah memandangkan suasana genting ketika itu, baik di dalam mahupun di luar negeri. Sebab itu Abu Bakar mencadangkan nama Umar, dan kebetulan nama ini jugalah yang disetujui oleh sahabat-sahabat. Jadi dengan persetujuan ramailah baru diperintahkannya agar Usman Affan menulis dikri yang menetapkan Umar sebagai penggantinya. Jadi sungguhpun pemilihan Umar adalah menurut sistem wasiat, tetapi telah mendapat sokongan ramai juga.

Ketiganya melalui sistem Syura, iaitu pemilihan khalifah ditentukan oleh Majlis Mesyuarat. Cara ini dilakukan oleh Umar dengan mencalonkan enam orang sahabat besar, iaitu Usman Aff an, Ali bin Abu Talib, Talhah bin Ubaidullah, Zubair AI-Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul Rahman bin Auf. Sedangkan anaknya Abdullah cuma layak sebagai seorang saksi dalam mesyuarat sahaja, tidak sebagai calon. Setelah bemesyuarat sesama mereka, akhirnya Usman dan Ali sahaja yang berjaya masuk ke peringkat ‘final’. Tetapi setelah ditinjau pendapat rakyat, ternyata mereka lebih memilih Usman, kerana sebab-sebab tertentu:

1.                    Usia Usman lebih tua daripada Ali.

2.                    Keinginan rakyat untuk mengubah selera dari corak pemerintahan yang tegas dan keras oleh Umar kepada corak yang lunak dan toleransi. Sikap Ali yang keras hanya akan melanjutkan tradisi ketegasan Umar belaka.

3.                    Kemungkinan menarik kembali jabatan khalifah nanti dari Usman (Bani Umayyah) adalah lebih besar daripada Ali (Bani Hashim).

4.                    Kemungkinan adanya lobi-melobi dalam kalangan orang-orang Umayyah yang sangat menginginkan agar jabatan khalifah itu dipegang oleh mereka.

Suatu hakikat yang perlu diperhatikan dalam pemilihan Umar dan Usman ialah bahawa sungguhpun nama-nama mereka telah dicalonkan sebelumnya, namun mereka bukanlah putera kepada khalifah sebelumnya. Abu Bakar tidak menetapkan puteranya, sedang Umar sendiri hanya memberi hak saksi sahaja kepada anaknya Abdullah. Ini sejajar dengan pendapat Al-Mawardy, bahawa “Apabila seseorang Imam bermaksud mengangkat seorang Putera Mahkota, maka wajiblah ia berdaya upaya mencari yang lebih berhak dan lebih cukup syarat-syaratnya”.

Akhirnya perlantikan Khalifah juga dibuat melalui jalan kekerasan, iaitu apabila rakyat bertindak menggulingkan pemerintah yang gagal menjalankan keadilan. Cara seperti ini berlaku apabila saluran-saluran biasa untuk memilih pemimpin-pemimpin dengan bebas sudah tertutup. Ini berlaku terhadap Usman sendiri yang didakwa telah membuat berbagai kesilapan dan kezaliman. Dan apabila beberapa orang sahabat terkemuka cuba memberi nasihat agar dia (Usman) beristirehat dan mengundurkan diri, dijawabnya: “Kenapa aku akan menanggalkan pakaian yang telah dipakaikan Tuhan kepadaku?” Akibatnya kebencian rakyat tidak dapat dibendung-bendung lagi, hingga meletuslah pemberontakan yang membawa kematiannya sendiri. Dalam suasana inilah Ali dilantik oleh penduduk-penduduk Madinah yang memandangnya sebagai tokoh yang paling layak untuk menjadi khalifah, di samping sokongan dari pemberontak-pemberontak yang datang dari wilayah-wilayah Islam yang lain.

Pada mulanya Ali menolak pemilihan rakyat itu, sebab katanya: “Ini bukanlah urusan kamu. Ini adalah urusan orang-orang yang ikut bertempur di Badar. Mana Talhah, mana Zubair, mana Saad?” Bagaimanapun setelah didesak malah dipaksa oleh pemberontak-pemberontak tersebut, akhimya Ali menerima juga pemilihannya. Dan atas kehendak pemberontak juga, Talhah dan Zubair yang berada di Madinah turut membaiatnya. Jadi sungguhpun perlantikan Ali dilakukan secara paksaan tetapi ianya menurut persetujuan rakyat terbanyak ketika itu yang mengira tidak ada calon lain yang lebih layak daripada Ali. Dan penolakan Ali terhadap pencalonannya itu pun menasabah juga, kerana urusan perlantikan bukannya dapat dilakukan secara sewenang-wenang sahaja, sebaliknya haruslah diputuskan oleh tokoh-tokoh pembesar. Tetapi penerimaannya selepas itu adalah juga wajar memandangkan suasana (darurat) ketika itu yang sama tidak mengizinkan berlangsungnya mesyuarat seperti biasa.

Demikianlah beberapa cara dan sistem yang dilakukan ketika melantik Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Wujudnya unsur-unsur pemilihan (dengan bebas) itulah yang menyebabkan mereka dinamakan ‘Khulafaur-Rashidin’, sedangkan khalifah-khalifah selepasnya tidak lagi digelar ‘Al-Rashidin’, sebab mereka tidak dipilih bahkan dilantik oleh khalifah-khalifah sebelumnya untuk mewarisi takhtanya. Ketika mengulas tentang sistem monarki ini, lbnu Khaldun berkata: “Mengangkat Putera Mahkota dengan maksud menurunkan kedudukan Kepala Negara kepada anak, bukanlah dari maksud-maksud keagamaan. Sepatutnya dilakukan dengan niat yang baik, kerana dikhuatirkan akan dipemain- mainkan atau disia-siakan jabatan-jabatan keagamaan”. Apa yang dimaksudkan dengan ‘mempermain-mainkan’ di sini ialah dijadikannya barang pusaka dan dimonopolikan

BAB 11: ABU BAKAR AL-SIDDIQ (632-634M)

Seorang sahabat Nabi yang terkanan, Abu Bakarlah calon utama pilihan rakyat buat meneruskan tugas-tugas baginda sebagai pemimpin umat. Meskipun timbul juga protes tentang pemilihannya, namun sejarah terpaksa juga mengakui hakikat bahawa kalau tidaklah Abu Bakar yang menjadi Khalifah, nescaya umat Islam akan berantakan jadinya. Dia sanggup berdiri sendiri dalam menghadapi serba kemungkinan dan hasilnya dia beroleh kemenangan yang gemilang.

1. GERAKAN-GERAKAN MILITER

i)                     Luar Negeri

Sebaik sahaja dilantik, Abu Bakar tents menggerakkan tentera pimpinan Usamah bin Zaid ke Ghassan yang terbantut akibat kewafatan Rasulullah. Dalam peperangan Muktah dulu, tiga orang pahlawan besar Islam tewas di tangan pasukan bersekutu Ghassan, termasuk Zaid bin Harithah, ayah Usamah. Sedang dalam peperangan Tabuk, tentera Rom dan Ghassan mengundurdiri. Sebab itu Rasulullah membentuk pasukan lain pimpinan Usamah untuk menghadapi mereka, tetapi terbengkalai dengan kewafatannya. Baru setelah Abu Bakar terpilih, pasukan Usamah itu digerakkan semula. Meskipun tindakannya ini dibantah oleh sahabat-sahabatnya, namun diteruskan juga. Dan hasilnya Usamah membawa kemenangan besar, setelah berperang selama 40 hari.

Kemudiannya setelah masalah pemberontakan dalam negeri dapat dileburkan, Abu Bakar melantik Khalid bin Said untuk mengembangkan Islam di daerah tersebut. Seruannya di Tihamah rupanya menimbulkan kemarahan Heraclius hingga menyebabkan Khalid terancam, lalu dimintalah bantuan dari Madinah. Untuk itu Abu Bakar menyusun tentera Islam kepada empat ketumbukan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah sebagai Pemimpin Umum di samping tugas khasnya menyerang Hems. Amru ibnul-Ass ditugaskan ke Palestin, Yazid bin Abu Sufyan ke Damsyik dan Shurahbil bin Hasanah ke Lembah Jordan. Jumlah kesemuanya ialah 24,000 orang.

Dalam peringkat awalnya pertempuran tersebut, tentera Islam dapat dikucar-kacirkan oleh 240,000 orang tentera Rom pimpinan Heraclius sendiri. Kecuali kemenangan yang tidak seberapa oleh Amru ibnul-Ass di Palestin, pasukan-pasukan lain tidak berdaya menghadapi kekuatan Rom yang juga telah membagikan pasukan tenteranya kepada empat ketumbukan. Maka terfikirlah Abu Bakar untuk menyatukannya kembali dengan Khalid AI-Walid sebagai Pemimpin Umumnya. Dengan itu Khalid yang sedang bertempur di Iraq itu terus berangkat ke Syria setelah mempercayai AI-Muthana bin Harithah sebagai penggantinya. Pengembaraan ke Syria mengambil masa 18 hari dengan dipandu oleh Rafi bin Umair. Dalam perjalanannya itu berlaku juga pertempuran-pertempuran kecil yang kemenangannya sentiasa di pihak Khalid.

Pertempuran penting yang dihadapi oleh Khalid AI-Walid ialah di Ajnadain pada 13 H. Perbezaan kekuatannya ialah 30,000 orang Islam melawan 100,000 orang Rom. Bagaimanapun tentera Rom yang dipimpin oleh Theodore, saudara Heraclius, mengalami kekalahan. Ini memalukan Heraclius sehingga memaksanya meninggalkan Hems dan menuju Antioch. Seterusnya Khalid menyerbu ke kota Damsyik dan berjaya memasukinya bersama-sama Abu Ubaidah, Amru dan Yazid. Dan pada ketika inilah khabamya Khalid menerima surat pemecatan sebagai Pemimpin Umum dari Umar AI-Khattab yang baru saja menggantikan Abu Bakar.

Mengenai Parsi pula, pertempuran-pertempuran kecil telah berlaku di antara tentera Islam pimpinan Al-Muthana bin Harithah dengan pemberontak-pemberontak di kawasan Oman dan Bahrain. Dan dengan kejayaan yang seadanya itu mendorong Abu Bakar mengutus Khalid Al-Walid yang ketika itu baru saja selesai menghancurkan gerakan Musailamah Al-Kazzab di Yamamah. Ketibaan Khalid mengecutkan negeri-negeri Iraq dan Hirah hingga mereka menerima tawaran perdamaian dengan Khalid. Selepas itu ditakluki pula AI-Anbar dan Ainut Tamar. Akhirnya Khalid mengutus surat kepada Hurmuz, wakil Parsi di Ubullah dekat Teluk Parsi. Kepadanya dikemukakan tiga pilihan; sama ada memeluk Islam, membayar jizyah atau berperang. Kerana sangat murka, Hurmuz lalu mengirimkan tenteranya untuk menghadapi Khalid. Maka berlakulah pertempuran ‘Zatis-Salasil’ di mana tentera-tentera Parsi telah mengikat sesama mereka dengan rantai agar tidak dapat melarikan diri. Bagaimanapun mereka tewas juga dan pelabuhan Ubullah dapat ditawan. Malangnya pada saat ini tentera Islam sedang mengalami kesulitan dalam menghadapi tentera Rom. Sebab itu Abu Bakar segera memerintahkan agar Khalid menuju Syria untuk menggantikan Abu Ubaidah sebagai Pemimpin Umumnya.

Sepeninggalan Khalid pimpinan tentera diambilalih oleh Al-Muthana yang nampaknya kurang berwibawa dalam mempertahankan wilayah-wilayah yang ditaklukinya. Al-Muthana terus memegang jawatan ini sehinggalah kematian Abu Bakar.

ii)                    Dalam Negeri

Nampaknya Abu Bakar bukan sahaja terpaksa menghadapi tentera-tentera Rom dan Parsi, bahkan juga masalah pemberontakan di Semenanjung Tanah Arab sendiri. Ada tiga golongan pemberontak tersebut, baik yang terdapat di sekitar Madinah mahupun yang tinggal berjauhan darinya. Golongan pertama ialah mereka yang baru memeluk Islam yang mana ajaran-ajaran Islam belum menyerap di hati mereka, ataupun mereka sendiri belum benar-benar memahaminya. Dengan wafatnya Rasulullah kebanyakan mereka telah murtad dari agama Islam.

Keduanya ialah golongan pengikut-pengikut Nabi palsu yang tumbuh bagai cendawan, baik ketika Nabi masih hidup dan lebih-lebih lagi setelah kewafatannya. Dari Bani Hanifah di Yamamah muncullah Musailamah Al-Kazzab, dari Bani Mad terdapat Tulaihah bin Khuailid, dari Bani Tamim muncul nabi wanita iaitu Sajjah, dan di Yaman timbul penyokong-penyokong Aswad AI-Ansi di bawah pimpinan Qais bin Yaghus. Semuanya mengaku mendapat wahyu yang mana banyak pula pendukung-pendukungnya. Ini bukanlah kerana mereka mempercayai kebenarannya, tetapi semata-mata kerana sifat ‘Asabiyyah’ yang masih tebal dalam kalangan mereka; sikap mana yang tidak mengizinkan jabatan kenabian dibolot oleh keturunan Bani Hashim sahaja.

Ada pun golongan ketiga ialah mereka yang enggan membayar zakat yang dipimpin oleh Malik bin Nuwairah dari Bani Tamim. Kebanyakan mereka tinggal di Yaman, Yamamah dan Oman. Tetapi ada juga yang tinggal berhampiran dengan kota Madinah seperti kaum Akin dan Zubyan. Faktor utama penentangan mereka hanyalah kerana mereka mengira bahawa Nabi Muhammad sahaja yang berhak memungut atau menerima zakat, seperti yang kononnya terdapat dalam surah At-Taubah ayat 103!

Sebagaimana ketegasannya ketika mengirim Usamah bin Zaid ke Ghassan dulu, begitu jugalah sikap Abu Bakar dalam menghadapi pemberontakan-pemberontakan ini. Untuk itu beliau membentuk 11 pasukan yang masing-masingnya dipimpin oleh Khalid AI-Walid, Amru ibnul-Ass, lkrimah bin Abu Jahal, Shurahbil bin Hasanah, Muhajjir bin Umayyah, Huzaifah Muhsin, Khalid bin Said dan sebagainya. Sebelum menghadapi mereka, lebih dahulu mereka diajak balik ke pangkal jalan. Ada yang menyahut seruannya ini, ada yang tetap berkeras. Kepada mereka yang terakhir inilah Abu Bakar mengarahkan bala tenteranya tersebut.

Tentera pimpinan Khalid Al-Walid dapat memukul pengikut-pengikut Tulaihah, malah dia sendiri telah melarikan dirinya dari peperangan tersebut. Tentang penyokong-penyokong Aswad AI-Ansi, mereka telah mengalami kekalahan teruk oleh pasukan Muhajjir. Kekalahan Tulaihah menyebabkan pengikut-pengikut Malik bin Nuwairah berpaling tadah. Ini memudahkan Khalid menumpaskan mereka hingga menyebabkan Malik tertawan. Ketika dalam tahanan, terjadi pembunuhan ke atas Malik yang tidak disengajakan kerana salah faham terhadap perintah Khalid.

Bagaimanapun pasukan yang menghadapi ancaman Musailamah Al-Kazzab mengalami kesulitan. Apa lagi kekuatan Musailamah bertambah setelah bersatu dengan tentera Sajjah menjadikan jumlahnya 40,000 orang. Ada pendapat mengatakan bahawa lkrimah telah mendahului perintah Khalifah agar menunggu pasukan Shurahbil sebelum menyerbu Musailamah. Walau bagaimanapun ketibaan Khalid telah menyelesaikan segala-galanya, sehingga tempat berlakunya pertarungan sengit tersebut dinamakan ‘Taman Maut” (Garden of Death). Khabarnya Musailamah telah dibunuh oleh Wahsyi, pembunuh Hamzah bin Abdul Mutalib dulu. Dengan kematiannya maka kaum Bani Hanifah lalu berikrar kembali ke pangkuan Islam.

Dengan selesainya pertempuran tersebut, Abu Bakar bukan sahaja berjaya menyatukan kembali umat Arab yang berpecah-belah itu, bahkan juga dapat mengukuhkan negara, sungguhpun tidaklah begitu kukuh dalam ertikata sebenarnya.

2. SEJARAH PEMBUKUAN AL-QURAN

Pada hakikatnya usaha-usaha pengumpulan Al-Quran tidaklah dimulakan di zaman Rasulullah. Meskipun ke semua ayat-ayat Al-Quran sudah sedia tertulis di zaman baginda, tetapi tidaklah diusahakan pengumpulannya dalam suatu mashaf. Ini memandangkan bahawa ayat-ayat Al-Quran sentiasa dalam proses nuzul (turun) malah setengahnya ada yang memansukhkan ayat sebelumnya. Maka jika dikumpulkan, terpaksalah diperbaiki selalu. Jadi biarlah kesemuanya selesai diturunkan meskipun terpaksa menunggu sehingga wafatnya Nabi.

Dengan gugurnya 70 orang Huffaz (penghafaz) dalam Perang Yamamah tersebut, barulah timbul kesedaran dan keperluan buat menghimpunkannya. Atas cadangan Umar AI-Khattab yang disetujui oleh Abu Bakar, ditugaskanlah Zaid bin Thabit melaksanakan usaha-usaha pembukuannya. Demikianlah selama setahun baru dia dapat menyelesaikannya dengan cara menemui para-para Huffaz serta dari catatan-catatan. Atas inisiatif Abu Bakar itulah Ali bin Abu Talib kemudiannya berkata: “Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas Abu Bakar sebagai orang pertama yang mengumpulkan kitab Allah di antara dua Luh.”

Dengan kewafatan Abu Bakar, mashaf itu berpindah ke tangan Umar sampailah wafatnya pula. Kemudian baru disimpan oleh anaknya Hafsah yang juga isteri Rasulullah. Ini bukan sahaja kerana dia sendiri menghafalnya serta pandai pula membaca dan menulis, bahkan juga kerana belum jelas lagi siapa pengganti Umar agar dapat diserahkan naskhah itu kepadanya.

Di zaman Usman Affan, timbullah beberapa faktor yang mendorong Al-Quran disalin semula. Pernah Huzaifah Al-Yaman ketika berada di Azerbaijan dan Armenia menyaksikan pertelingkahan yang berlaku antara orang Sham dengan orang Iraq sekitar bacaan Al-Quran. Lalu dilaporkanlah kepada Usman dengan kiranya masalah itu dapat diatasi. Malah Usman sendiri pun pernah melihat kejadian yang sama, sebab itu dia berkata: “Sedangkan engkau berada berhampiran denganku bercakaran dan salah-menyalahi antara satu sama lain, maka apatah lagi mereka yang tinggal jauh dariku, sudah tentu perbalahan mereka lebih dahsyat dari kamu. Wahai para sahabat Rasulullah, berhimpunlah kamu dan tuliskan Al-Ouran untuk menjadi pedoman ikutan sekalian orang.”

Sekali lagi tugas penyusunannya diketuai oleh Zaid bin Thabit. Maka dimintalah mashaf yang disimpan oleh Hasfah sebagai sandaran. Pedomannya ditetapkan oleh Usman, iaitu hendaklah ditulis menurut loghat (dialek) kaum Quraisy, sebab Al-Quran diturunkan menurut dialek mereka. Hasilnya lahirlah beberapa naskhah yang kemudiannya dihantar ke Makkah, Syria, Basrah, Kufah dan satu lagi disimpan oleh Usman sendiri. Dan bersama mashaf tersebut diutuskan kepada setiap wilayah itu seorang Huffaz khas untuk membetuli bacaan di dalam mashaf yang dibawanya. Oleh Usman diperintahkan agar dibakar segala mashaf peribadi yang nampaknya mendapat sokongan ramai, kecuali tentangan yang tak bertenaga dari Abdullah bin Mas’ud. Terhadap tindakan Usman ini, Ali mengatakan: “Jangan kamu mengata-ngatakan kepada Usman sesuatu yang tidak baik. Sesungguhnya demi Allah, segala sesuatu yang dilakukannya terhadap mashaf itu adalah dengan persetujuan dan kehendak dari kami semua”.

Mashaf Usmani ditulis tanpa tanda bacaan, jadi ia berkemungkinan dibaca dengan berbagai-bagai cara. Selama lebih 40 tahun mashaf ini dipakai oleh umat Islam, hinggalah ke zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan (685-705 M) yang sejak:itu bermacam-macam kesamaran timbul mengenai bacaannya. Oleh pembesar-pembesar negeri seperti AI-Hajjaj bin Yusuf Al-Saqafy dan Ubaidullah bin Ziyad diperelokkanlah perkataan-perkataannya agar Iebih jelas serta senang difaham. Pembetulan ini dilakukannya terus-menerus, dan kemuncaknya ialah pada akhir abad ke-3 H. apabila Al-Quran dibubuh titik dan baris. Tokoh-tokoh yang terlibat ialah Abul-Aswad ad-Dualy, Yahya bin Yakmar dan Nasim bin Asim Al-Laisy. Kemudiannya disusuli oleh penulisan nama-nama surah, membahagikan Al-Quran kepada juzuk-juzuk dan sebagainya. Semuanya ini berlaku meskipun selepas wafat Nabi, namun ianya dilakukan secara tauqifi (menurut pandangan Nabi).

Pada zaman AI-Walid bin Abdul Malik (705-715 M) diperintahkannya Khalid Abi Hiyaj mencantikkan tulisannya. Mulanya hingga akhir kurun ke-4 H. dipilih seni khas gaya Kufi, tetapi kemudiannya pada awal abad ke-5 H. Iebih disukai gaya Nasakh. Mulai abad ke-6 H. (1145 M) diusahakanlah terjemahan pertama Al-Quran dalam bahasa Latin untuk keperluan Gereja Clugni, tetapi baru dapat diterbitkan pada 1543 oleh penerbitan Bibliander di Basle. Dan berdasarkan naskhah Latin inilah Al-Quran diterjemahkan ke bahasa Italy, Jerman dan Belanda. Ada pun terjemahan dalam Bahasa Melayu telah dirintis oleh Syeikh Abdur Rauf Singkel pada abad ke-17 M. di Acheh berdasarkan Tafsir Al-Baidhawi.

Dengan sejarah ringkas ini dapatlah difahamkan betapa terjaminnya keselamatan Al-Quran dari semasa ke semasa. Sejarah pembukuannya jelas, demikian juga sejarah pemeliharaannya. Tidak pernah terdapat sebarang bukti yang ada pihak yang berjaya menyebarkan Al-Quran, palsu, atau sekurang-kurangnya berjaya menyelewengkan ayat-ayat tertentu. Tiadanya penyelewengan ini dan terjaminnya keselamatan Al-Quran bukannya secara kebetulan saja, tetapi memang kerana ianya telah dipelihara oleh Allah sendiri dalam firman-Nya: “Sesungguhnya Kami yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami tetap memeliharanya” (Al-Hijr: 9)

Keistimewaan seperti ini tidak ada pada kitab Injil; suatu kitab yang telah mengalami banyak perubahan, baik dalam bentuk pembuangan atau penyisipan pada ayat-ayatnya. Contoh terkemuka tentang adanya perubahan ini temyata sekali pada ayat yang dikenali sebagai “Comma Johaeum” atau Tiga Kesaksian Langit: “Kerana Tiga yang menjadi saksi di syurga, iaitu Bapa dan Firman dan Ruhul-Kuddus, maka ketiganya itu menjadi satu” (St. John 5:7). Menurut Rev. Dr. Charles Francis Potter, ayat ini dianggap sebagai “a deliberate to forgony”, suatu pemalsuan yang disengajakan. Malah untuk kesemua 25 ayat dalam Fasal 21 Injil St. John itu, oleh Jemaah Penyunting The Holy Bible, Catholic ed. RSV, Nelson 1966 ditegaskan bahawa: “This chapter was added later, either by the evangelist or by a disciple,” bahawa fasal ini ditambah kemudian, sama ada dari evangelist atau oleh seorang murid. Begitu juga dalam 101 St. Mathews (15:24) dikatakan bahawa Agama Kristian hanyalah khusus buat kaum Yahudi sahaja. Tetapi ini ditolak oleh para penganut Kristian dengan mengemukakan bukti dari Injil St. Marks (16:15). Anehnya menurut Jemaah Penyunting yang sama, “it is possible that Mark did not write it,” iaitu ada kemungkinan yang Mark tidak menulisnya.

Demikianlah perbezaan besar antara sejarah Al-Quran dengan sejarah Injil; yang satu masih terpelihara keasliannya, sedangkan yang satu lagi sudah dikotori oleh tangan manusia. Dan dalam hal ini, sesungguhnya jasa Abu Bakar tidaklah ternilai.

BAB 12: UMAR AL-KHATTAB (634-644 M)

1. DASAR PENTADBIRAN

Ketika Umar menyoal sahabat-sahabatnya tentang sama ada dia telah menunaikan tugasnya dengan melantik mereka yang terbaik sahaja serta menasihatkan mereka agar berlaku adil dan bijaksana, mereka mengiakan. Sebaliknya Umar membantah dengan mengatakan: “Belum, aku belum menunaikan kewajipanku selagi aku belum memeriksa apakah mereka ada menjalankan apa yang aku nasihatkan atau tidak”. Jadi bagi Umar, dengan melantik orang yang terbaik sahaja tidak memadai jika mereka tidak menunaikan tanggungjawab. Sebab itu telah menjadi kebiasaan baginya untuk meronda tengah malam dalam usahanya untuk mengetahui denyut nadi rakyatnya. Maka bertemulah dia dengan mereka yang daif dan yang memerlukan bantuan. Dan dengan tangannya sendirilah dia berusaha menolongnya tanpa sedikit pun diketahui oleh mereka bahawa dialah Khalifah Umar Al-Khattab!

Sungguh besar perhatiannya terhadap kebajikan rakyat sehingga di zamannyalah bermulanya sistem pentadbiran yang serba teratur. Dengan berdasarkan kepada prinsip ‘syura’, Umar telah membentuk Majlis Tertinggi dan Majlis Umum. Majlis Tertinggi adalah semacam jawatankuasa kabinet yang terdiri dari tokoh-tokoh besar seperti Usman Affan, Ali bin Abu Talib, Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas dan Muaz bin Jabal. Sedangkan Majlis Umum pula sifatnya terbuka untuk rakyat dengan masjid sebagai tempat pertemuannya.

Untuk melicinkan pentadbiran wilayah, Umar telah melaksanakan dasar disentralisasi dengan membahagikan kepada lapan wilayah, iaitu Makkah, Madinah, Sham, Basrah, Syria, Kufah dan sebagainya yang masing-masirgnya mempunyai seorang Gabenor, seperti Amru ibnul-Ass, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Musa Al-Shaari, Al-Mughjrah bin Abu Shu’bah, Abu Aidah Al-Jarrah dan lain-lainnya. Pada tiap-tiap wilayah itu dilantik pegawai-pegawai untuk mengetuai jabatan-jabatan tentera dan polis, cukai, kadi dan sebagainya. Walau bagaimanapun sebelum gabenor-gabenor tersebut dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta benda masing-masing demi mengelakkan amalan rasuah. Mereka juga disyaratkan supaya tidak menunggang kuda Turki atau memakai pakaian yang mahal. Dan pada tiap-tiap musim Haji dikehendaki berada di Makkah untuk mendengar pengaduan rakyat.

Suatu langkah Umar yang nampaknya telah mendahului sejarah ialah apabila beliau menjalankan sistem pentadbiran yang dalam istilah perundangan moden dipanggil prinsip ‘perasingan kuasa’ (separation of power). Meskipun caranya agak berbeza dengan fahaman dan amalan masa kini, tetapi Umar telah berjaya melaksanakannya apabila para kadi diberi kebebasan untuk menjalan tugas-tugasnya, tanpa takutkan kuasa-kuasa politik. Pernah terjadi seorang Muslim meminta fatwa dari Hakim Ali bin Abu Talib, sedangkan Umar tidak sependapat dengan keputusan Ali tersebut. Namun Umar tidaklah bertindak agar keputusannyalah yang dipakai, apa lagi untuk memecat Hakim yang bertentangan pendapat dengannya.

Dari segi ekonomi, Umar telah menubuhkan Baitul-Mal. (perbendaharaan). Sumber utama kewangan negara tentunya dari kutipan zakat atau ‘Usyur (zakat tanaman), iaitu 1/10 jika menggunakan air hujan atau 1/20 jika menggunakan tenaga. Terhadap orang-orang bukan Islam pula, mereka dikenakan cukai Kharaj (cukai tanah) serta cukai Jizyah, iaitu cukai kepala kerana tinggal di dalam negara Islan. Selain dari itu, Baitul-Mal juga memperolehi hartanya dari al-Fai’, iaitu harta-harta rampasan musuh tanpa melalui peperangan, dan juga Ghanimah, iaitu harta-harta rampasan perang.

Dengan adanya sumber-sumber kewangan seperti ini, dapatlah Umar melaksanakan program-program sosialnya, seperti memberi elaun-elaun khas kepada rakyat. Dan dalam hal Ini, Umar mengutamakan keluarga Nabi (Ahlul-bait), seperti isteri-isteri Nabi serta anak-anak cucunya dan lain-lain. Kepada mereka diberikan 12,000 dirham setahun, sedangkan kepada kaum Muhajirin dan Ansar di antara 4,000-5,000 dirham setahun, golongan tentera biasanya 500-6000 dirham dan golongan kanak-kanak serta perempuan mendapat 200-400 dirham setahun. Dan kepada mereka yang tidak berdaya diberi imbuhan khas dan perlindungan, meskipun mereka adalah orang Yahudi! Dengan wujudnya sistem pembahagian sara hidup tersebut, Umar seolah-olah telah berjaya mengasaskan sebuah negara kebajikan (welfare state) seperti yang pernah diamalkan oleh setengah negara Barat masakini.

Dalam bidang pentadbiran tanah pula, Umar telah dapat menghapuskan pemerasan tuan-tuan tanah (landlords) terhadap kaum petani. Umar juga menggalakkan pembukaan tanah-tanah baru dengan memberikan hak milik kepada pengusahanya.

Tentang soal ketenteraan; Umar telah membahagikan tentera Islam kepada dua bahagian; mereka yang bertugas sepenuh masa (standing army) dan orang-orang awam yang dapat dikerahkan pada masa-masa tertentu (volunteer). Sebagai tentera sepenuh masa, mereka mendapat gaji tetap serta kemudahan-kemudahan sampingan lain, tetapi mereka tidak diberikan habuan tanah demi untuk mengelakkan mereka menetap di sesuatu tempat. Hanya tentera ‘volunteer’ sahaja mendapat habuan tanah tersebut.

Dari segi pendidikan, pusat-pusat pengajian Islam telah didirikan di kota-kota Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya. Guru-guru agama telah dihantar ke pusat-pusat ini, sedangkan imam-imam diadakan di masjid-masjid. Dan buat pertama kalinya Umar mengadakan kalendar (taqwim) Islam sendiri yang bermula dari peristiwa Hijrah Nabi ke Madinah.

Dengan adanya perubahan-perubahan pertadbiran seperti ini, serta sumbangan-sumbangan lain yang tidak disebutkan, maka tidak hairanlah jika Umar AI-Khattab digelar ‘Amirul-Mukminin; atau Raja orang-orang yang beriman. Bahkan di kalangan rakyat, istilah ‘Keadilan’ itu sinonim dengan nama Umar sendiri.

2.  GERAKAN-GERAKAN MILITER

Gerakan-gerakan militer di zaman Umar tertumpu kepada jajahan-jajahan Rom serta wilayah Parsi sendiri, sebagai penerusan daripada gerakan-gerakan di zaman Abu Bakar dulu. Mengenai jajahan Rom, telah pun disentuh bahawa Khalid Al-Walid telah dipecat oleh Umar sebagai Pemimpin Umumnya sebaik sahaja beliau menjadi Khalifah. Sebab-sebab pemecatannya hingga diganti oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah agak kabur. Ada pendapat mengatakan bahawa Khalid ikut menyokong Ali bin Abu Talib sebagai khalifah, dan ada pula yang menganggap bahawa Umar takut keperwiraan Khalid menyebabkan ramai yang akan menjadi mangsanya, atau mengkaguminya secara berlebih-lebihan. Pendapat mengatakan bahawa kecekapan Khalid hanyalah di bidang militer sahaja, sedangkan Abu Ubaidah mempunyai kelebihan di bidang diplomasi. Walau bagaimanapun pemecatannya tidaklah menggugat perasaannya, lagipun sebelum kedatangannya dulu Abu Ubaidahlah yang merupakan Pemimpin Umumnya.

Kekalahan di Damsyik menyebabkan Heraclius mengumpul semula kekuatannya sehingga dapat membentuk suatu ketumbukan berjumlah kira-kira 1.5 juta orang. Pimpinannya diserahkan kepada Jabalah ibnul-Aiham, raja terakhir kerajaan Ghassan dengan bantuan Mahan dari Armenia. Tentera Islam yang berjumlah 24,000 orang dipimpin oleh Abu Ubaidah sendiri. Maka berlakulah Peperangan Yarmuk pada 636 M, dan ianya begitu sengit sehingga Heraclius terpaksa sekali lagi berangkat dari Antioch menuju Constantinople (ibu kota Byzantine) pula setelah tenteranya dipukul. Kemudiannya tentera Islam terpecah dua, sebahagian menuju ke utara di bawah pimpinan Abu Ubaidah dan Khalid, dan bahagian lain menuju ke selatan dengan ketuanya Shurahbil dan Amru ibnul-Ass. Adapun Yazid bin Abu Sufyan sendiri harus menjaga Damsyik.

Dalam perjalanannya itu Abu Ubaidah dan Khalid telah menakluki Hems, Hama, Qinnisria, Laziqiyah dan Aleppo. Amru dan Shurahbil pula berjaya merebut Acre, Haifa, Jaffa, Ghazzah dan lain-lainnya, kecuali Baitul Maqdis sahaja yang belum menyerah. Tetapi ini pun tidak lama sebab penduduk-penduduknya sendiri ingin berdamai dengan syarat khalifah sendiri datang ke Jerusalem buat mengadakan perundingan. Demikianlah yang berlaku apabila Jerusalem menyerah kepada Umar pada 15 H. Kemudian Amru berangkat ke Qisariyah lalu mara pula ke Mesir dengan keizinan Umar. Dengan melalui Padang Pasir Sinai, Amru sampai ke Arisy dan seterusnya ke Farma. Sebulan lamanya kaum Muslimin mengepung Farma, akhirnya jatuh juga dengan sokongan penduduk-penduduk Mesir sendiri.

Dari Farma Amru mara ke Bulbais dengan menghadapi tentera Rom pimpinan Artibun yang sebelumnya melarikan diri dari Baitul Maqdis. Di sini juga tentera Islam memenanginya, tetapi dalam pertempuran di Ummu Dunain kemudiannya tentera Islam mengalami kesukaran. Oleh Amru diminta bantuan pusat, maka tibalah 4000 tentera tersebut yang dipimpin oleh Zubair Al-Awwam, Miqdad Al-Aswad, Muslimah bin Mukhlid dan Ubaidah Al-Samit. Maka bertemulah mereka dengan tentera Rom pimpinan Theodore yang berjumlah 20,000 di Ainus-Sham. Dengan kebijaksanaan Amru tercapailah kemenangan, tetapi sebahagian tentera Rom dapat melarikan diri ke benteng Babylon. Selama 7 bulan kaum Muslimin mengepungnya, akhirnya baru diberi tiga pilihan kepada Muqauqis (Gabenor Rom di Mesir) sama ada mahu masuk Islam, membayar jizyah atau berperang. Melihat kekuatan tentera Islam yang cukup berdisiplin itu Muqauqis memilih perdamaian saja dengan membayar pajak. Meskipun tindakannya ini dibantah keras oleh Heraclius, tetapi Muqauqis tidak mempedulikannya.

Buat mengakhiri sin serangan terhadap Rom, kaum Muslimin terus mara ke Iskandariyah, ibu kota Mesir. Disebabkan benteng pertahanannya agak kuat, sukarlah kaum Muslimin menyerangnya. Maka timbullah semacam kelemahan semangat untuk meneruskan pertempuran. Hanya setelah tibanya surat dari Umar yang membidas sikap tersebut itulah baru mereka bertekad untuk berjuang habis-habisan sehingga sanggup memanjati benteng tersebut. Ini menyebabkan tentera Rom melarikan diri ke kapal mereka yang berlabuh di laut. Akhirnya dengan penerimaan syarat-syarat perdamaian oleh Muqauqis itu maka jatuhlah seluruh Mesir ke bawah kekuasaan Islam setelah sekian lama dijajah oleh kerajaan Rom.

Mengenai Parsi pula, sebaik sahaja Umar menggantikan Abu Bakar, segera dikirimkannya bantuan tentera pimpinan bersama Abu Ubaid Al-Saqafy dan Sulait Al-Ansary kepada Al-Muthana yang baru mengambil alih pimpinan Khalid Al-Walid dulu. Maka berlakulah Peperangan Jambatan sebanyak dua kali berhampiran dengan AI-Hirah pada 13 H. Tentera Parsi yang dipimpin oleh Rustum telah mencapai kemenangan sehingga Abu Ubaid dan Sulait sendiri terbunuh. Ini menyebabkan Umar membekukan gerakan ketenteraan selama setahun sambil melengkapi persiapannya. Untuk menebus kekalahan tersebut, pada 15 H. Umar lalu menghantar satu pasukan tentera pimpinan bersama Al-Muthana dan Jarir bin Abdullah yang hasilnya berjaya memukul tentera Parsi pimpinan Mahran.

Kemenangan ini mendorong Umar melantik Saad bin Abi Waqqas mengetuai angkatan tentera seramai 10,000 untuk menghadapi tentera Parsi yang berjumlah 120,000 pimpinan Rustum. Turut membantu Saad ialah AI-Mugirah bin Abi Shu’bah, Dais bin Hubairah dan dan Tulaihah bin Khuailid, salah seorang nabi palsu dulu. Ketika bertemu, kedua belah pihak cuba mencari penyelesaian agar peperangan dapat dihindari. Malangnya satu rombongan diplomatik untuk mengadap Maharaja Parsi di Madain telah dibunuh oleh Rustum, kecuali ketua rombongan Nukman bin AI-Mughirah. Akibatnya tercetuslah Pertempuran AI-Qadisiyah yang hebat selama tiga hari yang menyebabkan kekalahan teruk di pihak Parsi, sementara tentera Islam telah memperoleh banyak harta rampasan. Malah Rustum sendiri telah dibunuh oleh Hilal bin AI-Qamah.

Dengan kemenangan ini memaksa mereka untuk mencapai kemenangan muktamad. Ketika tentera Islam berjaya merebut Bahrain yang terletak di bahagian bandar Madain; ibu kota Parsi, tentera Parsi terus menyeberangi Sungai Dajlah lalu membinasakan jambatannya. Begitupun tentera-tentera Islam dapat juga menyeberanginya dengan kuda sehingga gugup tentera Parsi dibuatnya. Akhirnya Madain dapat ditawan, tetapi Maharaja Yazdajird bin Shahriar telah berangkat ke Helwan dengan memindahkan segala alat-alat kebesarannya di situ.

Di Helwan Yazdajird lalu menyusun kembali angkatannya di samping meminta bantuan di sana-sini. Dengan terkumpulnya bala tentera tersebut di suatu tempat bersama Jalaula, mereka menggali parit di sekelilingnya. Tetapi tentera Islam berjaya juga merempuhnya sehingga dapat memenanginya. Ini menyebabkan Yazdajird sekali lagi berangkat dari Helwan menuju Nihawand. Di sini dia sempat mengumpul kembali tenteranya seramai 100,000 orang pimpinan Firzan. Dan agar mereka tidak melarikan diri, tenteranya telah dirantaikan sesamanya. Pimpinan tentera Islam dipegang oleh Nukman Al-Muqarrin setelah Saad bin Abi Waqas dipecat kerana setengah tindakannya di Kufah tidak direstui oleh Umar. Dalam Pertempuran Nihawand pada 19 H. ini kaum Muslimin mencapai kemenangan gemilang. Dan buat menamatkan siri ini tentera Islam terus menakluki Ahwaz, Kashan, Qam dan Azerbaijan. Ada pun Yazdajird sendiri tidaklah berdaya lagi untuk melawan, dan pada 31 H. dia dibunuh di Khurasan. Sejak ini jadilah wilayah Parsi di bawah perintah Islam.

Demikianlah di zaman Umar Al-Khattab jatuhnya Empayar Parsi serta jajahan-jajahan Rom ke tangan Islam. Kejatuhan Rom dan Parsi sesungguhnya amat memalukan, kerana selama berabad-abad kedua-duanya sangat terkenal sebagai kuasa-kuasa besar yang sangat menggerunkan.

BAB 13: USMAN BIN AFFAN (644-656 M)

1. JASA-JASA USMAN AFFAN.

1.                    Menumpaskan gerakan pemberontakan wilayah-wilayah yang telah ditakluki di zaman Umar AI-Khattab, seperti Khurasan, Iskandariyah, Armenia dan Azerbaijan.

2.                    Meneruskan gerakan penaklukan dan perkembangan Islam. Di zamannya tertakluklah daerah-daerah Jurjan, Talkan dan Balkh, alah sampai dapat melampaui Sungai Jihun (Amu Dada). Demikian juga pulau-pulau Cyprus dan Rhodes.

3.                    Menyalin semula Al-Quran menurut dialek yang betul.

2. PEMBERONTAKAN DI ZAMAN USMAN

Zaman pemerintahan Usman dapat dibahagikan kepada dua peringkat: sepanjang enam tahun yang pertama suasananya aman tenteram, tetapi sepanjang enam tahun yang terakhir timbul huru-hara dan pemberontakan terhadap pemerintahannya. Mengkaji faktor-faktor yang mencetuskan pemberontakan itu kita tidaklah dapat menyalahkan Usman sahaja, malah penting juga disebutkan peranan-peranan yang dimainkan oleh pembantunya Marwan Al-Hakam, Abdullah bin Saba’ dan Muawiyah bin Abu Sufyan sendiri pada saat-saat akhimya.

Tentang faktor Usman sendiri, sikapnya yang terlalu penyantun dan pemaaf itulah yang banyak memuncakan merebaknya perlakuan jenayah. Para opportunis tidak lagi gentar kepadanya lantaran segeranya Usman mengampunkan kesalahannya, malah ada yang terus terlepas dari penjara. Sikap ini mungkin sesuai bagi seorang pendidik, tetapi tidak selayaknya menjadi pakaian setiap masa bagi seorang pemimpin. Kelemahan-kelemahan seperti ini diperburukkan lagi oleh keengganannya untuk mendengar teguran-teguran yang dihadapkan kepadanya tentang polisi-polisi pentadbirannya. Pernah suatu ketika Ali bin Abu Talib mengirim puteranya Hassan untuk tujuan tersebut, tetapi lantaran sering sangat mendatanginya, Usman lalu menempelak: “Bapamu berpendapat bahawa orang tak tahu apa yang dia tahu. Kami lebih tahu tentang apa yang kami lakukan dan tinggalkanlah kami ini”.

Sehubungan dengan sikapnya juga ialah dasarnya yang tidak sejalan dengan Umar yang dulunya melarang para sahabat meninggalkan Madinah, demi mengelakkan perpecahan umat. Hikmat larangannya ialah agar mereka tidak mempengaruhi penduduk-penduduk tempatan dengan pengalaman-pengalaman peribadi mereka bersama Rasulullah, yang dengan cara ini pengaruhnya dapat ditanam. Tetapi Usman mengubah polisi ini, maka mulailah wujud susun lapis masyarakat kepada yang berada dan yang kurang berada. Tidak cukup setakat itu sahaja, wang BaitulMal telah dihamburkan semau-maunya saja di samping memberi kebebasan kepada gabenor-gabenor mengatur masalah kewangannya sendiri. Pernah Usman memberi hadiah 400,000 dirham kepada Abdullah bin Khalid, seorang Bani Umayyah. Demikian juga diberinya 100, 000 dirham kepada Al-Hakam Abul-Ass, seorang keturunan Umayyah yang pemah diusir oleh Rasulullah. Sikapnya yang boros ini sering dikaitkan dengan sifat dermawannya, tetapi masalahnya kedermawanan ini melibatkan wang negara. Tidak hairanlah jika kerananya timbul kegelisahan rakyat terhadap cara pentadbirannya.

Kegelisahan tersebut mungkin tidak serancak mana tanpa penglibatan Marwan AI-Hakam, sepupunya yang dilantik sebagai pembantunya atau penasihatnya. Maka atas ‘nasihat’nyalah dilantik tokoh-tokoh dari keluarga Bani Umayyah saja sambil melucutkan tokoh-tokoh lantikan Umar dulu. Dengan itu terlucutlah Abu Musa Al-Shaari yang warak itu sebagai Gabenor Basrah dengan diganti oleh Abdullah bin Amir, anak sebagai Gabenor Basrah dengan diganti oleh Abdullah bin Amir, anak saudara Usman yang baru berusia 25 tahun. Gabenor Mesir Amru ibnul-Ass digantikan oleh Abdullah bin Sarah, saudara sesusu Usman. Sedangkan Gabenor Sham yang seketurunan dengannya iaitu Muawiyah bin Abu Sufyan dikekalkan jawatannya, malah bidang kuasanya diluaskan sehingga meliputi kawasan Hems dan Palestine. Dan banyaklah lagi berlaku pemecatan-pemecatan yang kemudiannya diserahkan kepada suku-sakatnya; suatu amalan nepotisme yang membawa keruntuhannya sendiri. Kiranya amalan seperti inilah yang akhirnya menimbulkan gerakan-gerakan penentangan dari wilayah-wilayah yang jauh.

Api kemarahan yang sedia menyala akan terus menggila jika dicurahkan minyak ke atasnya. Demikianlah peranan yang dimainkan oieh Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi yang pura-pura memeluk Islam. Berkat kelicinannyalah yang bertanggungjawab menyemarakkan lagi suasana sehingga bibit kemarahan yang baru bertunas itu terus menanjak naik bagai tak dapat ditahan-tahan lagi. Sesungguhnya Abdullah bin Saba’ telah memberi sumbangan yang tersangat besar dari segi:

1.                    Membentuk kesatuan yang padu dalam kalangan penentang-penentang Usman, yang mana sebelumnya mereka adalah bercerai-berai dan terpancar-pancar.

2.                    Menabur fikiran-fikiran yang sesat serta hadis-hadis palsu dalam menguatkan ide ‘Ahlul-bait’ (keluarga Rasulullah) yang mana menjadi asas kepada pemikiran Syiah.

Peranan Abdullah bin Saba’ itu kemudiannya membawa kejayaan yang besar disebabkan oleh beberapa faktor:

1.                    Kegagalan Usman sendiri berbanding dengan khalifah-khalifah sebelumnya.

2.                    Naluri masyarakat yang sekian lama menyokong ‘Ahlul bait’ (keluarga Rasulullah) serta mengangkat mereka sebagai pemimpin.

3.                    Keistimewaan Ali yang sudah, terkenal, baik sebagai pahlawan perang, mahupun sebagai ahli ilmu.

4.                    Perasaan umum bahawa Ali telah disingkirkan dari haknya sebagai khalifah.

5.                   Sokongan dari orang-orang Parsi yang telah memeluk Islam atau pura-pura memeluk Islam dengan tujuan untuk menghancurkannya dari dalam. Di Parsi terdapat teori ‘Hak Suci Raja-Raja’ (Divine Right) yang menganggap bahawa keluarga raja adalah suci dan mereka saja yang berhak memerintah. Wujudnya pemikiran seperti ini cukup membantu dalam menjayakan teori ‘Wisayah’ Abdullah bin Saba’; bahawa Rasulullah telah pun mewasiatkan kepada Ali sebagai penggantinya.

Hasil dari peranannya itu Abdullah berjaya mengumpulkan pendukung-pendukungnya seperti Ammar bin Yasir, Abu Zar Al-Ghifary dan Abdullah bin Masud. Dan untuk menghangatkan lagi api tersebut, ditulisnya surat-surat palsu atas nama tokoh-tokoh sahabat. Misalnya melalui seorang lelaki kulit hitam ditulisnya surat kepada Gabenor Mesir Abdullah bin Sarah atas nama Khalifah Usman agar membunuh pemberontak dari Mesir itu termasuk pemimpinnya Muhammad bin Abu Bakar. Kepada para pemberontak dihasutnya melalui siaran suratnya atas nama Ali agar bangun menentang Usman. Malah Abdullah juga menggunakan nama Aishah r.a. sehingga Marwan sendiri menganggap yang Aishah turut terlibat dalam mengeruhkan suasana.

Demikianlah peranan Abdullah bin Saba’ sehingga akibatnya pemberontak-pemberontak yang sedia mendidih semangatnya itu tidak kuasa lagi menahan perasaannya lalu terus mengepung rumah Usman. Dalam suasana yang kritikal ini, beberapa orang sahabat termasuk Ali cuba menjadi orang tengah atau pengawal pintu rumah Usman. Jemaah-jemaah Haji yang tidak begitu ramai itu juga turut menahan permberontakan ini. Sepatutnya dalam saat-saat seperti ini Bani Umayyah serta Muawiyah khususnya datang segera membantunya, tetapi malangnya mereka lebih senang bersikap berkecuali dalam hal ini. Sikap seperti inilah yang rupanya mempercepatkan pemberontakan tersebut mencapai matlamatnya. Demikianlah yang terjadi, setelah 22 hari dikepung, akhirnya Usman telah dibunuh oleh mereka ketika sedang membaca Al-Quran, iaitu dalam usia 82 tahun.

BAB 14: ALI BIN ABU TALIB (656-661 M)

Pada hakikatnya Ali bin Abu Talib telah mewarisi satu pemerintahan yang kucir-kacir, dan dia tidaklah berdaya memperbaikinya sehingga di tangannyalah tamatnya rangkaian Khulafaur-Rashidin. Ini bukan kesalahannya seorang, bahkan tanggungjawab bersama, termasuk tokoh-tokoh sahabat sendiri. Sebagai seorang yang terkenal tegas dan radikal, sebaik sahaja Ali dilantik sebagai Khalifah dikeluarkannya beberapa ketetapan:

1.                    Memecat Gabenor-Gabenor lantikan Usman.

2.                    Merampas balik tanah-tanah yang dibahagikan oleh Usman kepada kaum kerabatnya secara tidak sah.

3.                    Mengubah pusat pentadbiran dari Madinah ke Kufah.

Sesungguhnya Ali dapat mempertahankan kebenaran tindakannya itu, tetapi cepatnya dia bertindak menyebabkan beberapa tokoh sahabat kurang menyenanginya. Sebaliknya pula Ali melambat-lambatkan tuntutan penyokong-penyokong Usman agar pembunuhannya segera disiasat dan dihukum. Dan faktor kelengahannya inilah yang menimbulkan tuduhan liar bahawa dia turut bersubahat dalam pembunuhan Usman. Seperti juga Usman, Ali sendiri kurang bermesyuarat dengan orang-orang terkemuka di zamannya. Pemah Talhah bin Ubaidullah dan Zubair Al-Awwam mencela sikapnya itu, tetapi Ali menjawab: “Apakah yang tidak saya ketahui, makanya saya harus mesyuaratkan?”

1. BERMULANYA PERANG SAUDARA DALAM SEJARAH ISLAM

i) Perang Jamal

Dari segi sejarah, peperangan Jamal merupakan perang saudara yang pertama sekali. Mulanya persiapan tentera Ali adalah untuk menghadapi tentera Muawiyah bin Abu Sufyan di Sham, tetapi tekanan suasana memaksa Ali membelok ke Basrah untuk menghadapi tentera Aishah r.a. Tentang Aishah ini bukan tidak ada sebabnya. Yang penting sekali bujukan beberapa orang tokoh, terutamanya Abdullah bin Zubair, anak saudaranya. Memang Aishah ingin membela kematian Usman, tetapi tidaklah sampai melalui peperangan. Antara Ali dengan Aishah memang sudah ada krisis peribadi. Misalnya Ali pernah dikatakan meragui kesucian Aishah dalam peristiwa Pesona Keji (Hadithul-ifki) sewaktu Perang Bani Mustaliq dulu. Apa lagi Ali kemudiannya ingin menyaingi ayahnya Abu Bakar dalam rebutan kuasa Khalifah. Adanya krisis ini memang diakui, tetapi tidaklah sampai memerlukan Aishah mengangkat senjata memerangi Ali. Atas tekanan Abdullah bin Zubairlah Aishah yang terus menerus teragak-agak itu sanggup berperang.

Bersama Aishah ialah Talhah bin Ubaidullah dan Zubair Al-Awwam yang pernah membaiat Ali dulu. Khabarnya tentangan mereka terhadap Ali ialah kerana mereka diketepikan oleh Ali dalam perlantikan Gabenor-Gabenor wilayah Yaman dan Iraq. Walau bagaimanapun pada 36 H. berlakulah peperangan Jamal di Al-Kharibah berhampiran Basrah. Memang pada mulanya tercapai persetujuan damai di antara Ali dengan Aishah untuk mengelakkan pertumpahan darah. Malangnya pengikut-pengikut Abdullah bin Saba’, terutamanya mereka yang terlibat dalam pembunuhan Usman telah menyerang pihak Aishah, sehingga peperangan tidak dapat dielakkan lagi.

Peperangan ini berakhir dengan kemenangan pihak Ali, namun Aishah tetap dimuliakan oleh Ali. Atas arahan Ali, Aishah dihantar oleh adiknya Muhammad bin Abu Bakar kembali ke Madinah. Khabamya sehingga wafatnya Aishah dikatakan sangat sedih dan menyesal di atas penglibatannya dalam peperangan itu. Pernah dia mengeluh: ‘Wahai, kalaulah aku menjadi pokok kayu! Wahai, kalaulah aku menjadi pokok likir!, Wahai, kalaulah aku telah lama mati!.. Dan apabila dia hampir wafat, dia berwasiat: “Jangan kuburkan aku di samping Rasulullah, kerana aku telah membuat kesilapan setelah ia meninggal”.

Mengenai Zubair AI-Awwam, dia sendiri melarikan diri dari peperangan tersebut kerana tidak meyakini betul tidaknya penentangan terhadap Ali. Melihat tindakannya itu Amru bin Jurmuz lalu membunuhnya. Begitu juga dengan Talhah yang telah dibunuh oleh Marwan Al-Hakam dari pihaknya sendiri kerana disyaki cuba melemahkan semangat perjuangan. Ada pun Abdullah bin Zubair, ia telah ditetak oleh AI-Ashtar, panglima Ali yang gagah terbilang. Tetakan tersebut tidak membawa kematian, namun dia tidak lagi mencampuri peperangan Jamal. Untuk beberapa waktu Abdullah seolah-olah tenggelam, tetapi kemudiannya timbul semula dengan gagahnya buat mencabar kerajaan Bani Umayyah.

ii) Peperangan Siffin

Kesilapan besar Ali ialah melucutkan secara mendadak jawatan Muawiyah bin Abu Sufyan sebagai Gabenor Sham yang telah dipegangnya sejak zaman Umar lagi. Tindakan ini benar-benar menyinggung perasaannya malah rakyat Sham juga yang belum pemah mengecap kemakmuran sehinggalah datangnya Muawiyah. Jadi dengan pemecatannya rakyat Sham sendiri yang sekian lama memulianya tidaklah begitu sukar untuk dikobar-kobarkan semangat mereka buat menentang Ali. Apa lagi Muawiyah sendiri bijak bermain politik dengan cara membentangkan baju gamis Usman yang berlumuran darah di mimbar bersama anak-anak jari isteri Usman yang terpotong sewaktu mempertahankan pukulan pemberontak-pemberontak ltu. Ini menyebabkan semangat rakyat meluap-luap.

Bagaimanapun Ali cuba memperlihatkan semangat toleransinya dengan mengutus Jarir bin Abdullah menemui Muawiyah. Hanya dengan kegagalan rundingan-rundingan itulah tercetusnya pertempuran di Siffin tersebut pada 37 H. Dan walaupun peperangan sudah bermula, namun Ali dengan 50,000 tenteranya masih berlembut dengan Muawiyah. Misalnya apabila pengikut-pengikut Muawiyah telah dapat menguasai satu kawasan yang banyak airnya, pengikut-pengikut Ali telah dihalangi dari meminumnya. Tetapi sebaliknya apabila ianya dikuasai oleh Ali, tidak pula dihalangi pengikut-pengikut Muawiyah meminumnya

Dilihat dari segi kepimpinan dan kekuatan tentera, barisan Ali ternyata mempunyai potensi besar untuk mencapai kemenangan, dan memang sudah terbayang tanda-tanda untuk mencapainya. Sebaliknya di sisi Muawiyah terdapat barisan tentera yang lemah, ditambah pula dengan keretakan pucuk pimpinannya. Pernah terjadi di tengah-tengah peperangan itu, Ali menyerbu kepada Muawiyah dan berkata: “Hai Muawiyah, untuk apakah orang-orang ini akan terbunuh kerana kita berdua? Mari kita bertahkim kepada Allah. Barang siapa di antara kita dapat menewaskan lawannya, maka tidak ada orang yang akan mengganggu-gugatnya lagi.” Ketika itu Amru ibnul-Ass berada di samping Muawiyah, berkata kepadanya: “Hai Muawiyah, apa yang dianjurkan orang ini (Ali) adalah adil.” Muawiyah menjawab: “Tetapi apa yang engkau anjurkan itu tidak adil, hai Amru, kerana engkau menghasutku untuk berlawan dengan Ali, pada hal engkau tahu bahawa siapa saja yang berani melawannya satu-sama-satu pastilah tewasi!” Seterusnya Amru berkata lagi: “Tetapi satu-satunya jalan yang terbaik bagimu hanyalah menyambut tentangannya!” Jawab Muawiyah: “Sebenamya engkau ingin menjadi Khalifah, bila aku telah tewas nanti.”

Demikianlah kita melihat adanya tanda-tanda kemenangan di pihak Ali. Walau bagaimanapun Muawiyah tidak pula kehilangan akal, sebaliknya disuruhnya Amru mencari jalan keluar. Maka atas cadangan Amru, tentera-tentera Muawiyah diminta mengangkat mashaf Al-Quran sambil menyeru: “Inilah kitabullah yang akan menjadi hakim antara kami dan kamu!” Melihat julangan Al-Quran itu (Betulkah itu Al-Quran?) menyebabkan tentera Ali terpecah dua; satu yang menyokong gencatan senjata dan yang lain ingin meneruskan peperangan. Ada pun Ali meskipun sedar tipu helah Muawiyah, namun dia terpaksa bersetuju dengan kehendak ramai agar diadakan rundingan. Anehnya golongan (Khawarij) yang memintanya dihentikan pertempuran inilah yang nantinya menentang Ali pula, sambil menyalahkan Ali kerana menerima cadangan mereka!

Dalam perundingan ‘Tahkim’ tersebut, sekali lagi Amru sebagai wakil Muawiyah menjalankan siasatannya sehingga menyebabkan wakil Ali, Abu Musa Al-Shaari tertipu. Dengan menerima perlucutan Ali sebagai Khalifah, Amru lalu mengekalkan jawatan Muawiyah. Sebenarnya keputusan Tahkim Itu tidaklah penting bagi Muawiyah yang hanya ingin agar peperangan itu dihentikan. Dan di sini Muawiyah berhasil mencapai matlamatnya. Bahkan Iebih dari itu, ianya membawa perpecahan pula dalam kalangan pengikut-pengikut Ali – satu yang menyokongnya (Syiah) dan satu yang menentangnya (Khawarij). Dengan ini bukan sahaja Ali terpaksa menghadapi Muawiyah sekali lagi, bahkan terpaksa pula menghadapi musuh terbaru, iaitu golongan Khawarij.

Ketika mendedahkan sebab-sebab kemenangannya dalam menghadapi Ali, Muawiyah telah mengemukakan empat faktor:

1.                    Aku senantiasa menyembunyikan rahsia, sedangkan Ali suka membukakan rahsianya.

2.                    Aku mempunyai tentera yang terbaik dan amat patuh, sedangkan Ali mempunyai tentera yang paling jelik dan amat pembangkang.

3.                    Aku biarkan dia bertempur melawan pasukan Aishah. Kalau Ali kalah, mudah bagiku menghadapinya. Tetapi kalau dia menang, aku akan menuduhnya sebagai pembunuh mereka.

4.                    Aku lebih dicintai oleh orang-orang Quraisy daripada Ali.

2. LAHIRNYA MAZHAB-MAZHAB POLITIK

Kelahiran mazhab-mazhab politik dalam Islam adalah berasaskan persoalan-persoalan sekitar masalah kepimpinan, yakni siapakah yang Iebih berhak untuk menjadi Khalifah (pengganti Rasulullah). Sebetulnya masalah-masalah tentang pemilihan Khalifah ini bermula sejak wafatnya Rasulullah, apa lagi baginda sendiri tidak pula menentukan siapakah penggantinya, dan bagaimana pula cara pemilihannya. Ini menimbulkan beberapa aliran tertentu, seperti golongan-golongan pro Ansar, pro Quraisy dan pro Ali bin Abu Talib. Bagaimanapun aliran yang pro Quraisy menang, maka naiklah Abu Bakar dan Umar Al-Khattab sebagai Khalifah. Tetapi aliran yang pro Ali terus hidup, cumanya kurang berpengaruh berkat keadilan dan kebijaksanaan kedua-dua khalifah tersebut.

Dengan naiknya Usman bin Affan barulah aliran pro Ali hidup kembali, apa lagi dilihatnya bahawa Usman mengamalkan polisi nepotisme, yakni mementingkan keluarga Umayyah saja. Bagaimanapun tentangan-tentangan terhadap Khalifah Usman kelihatan terpencar-pencar di sana-sini, hinggalah munculnya Abdullah bin Saba’ yang menyatukannya di bawah slogan ‘Ahlul-bait.’ Lalu dipropagandanya bahawa Nabi telah berwasiat kepada Ali untuk menjadi khalifah sesudahnya. Dan untuk memperkuatkan teorinya, disebarkannya fahaman ‘Hak Ilahi’ (Devini Right) bahawa Allah yang berhak menjadi khalifah, kerana hal itu sudah ditentukan oleh Allah, dan Usman telah merampas hak itu dengan kekerasan. Jadinya pengasas gerakan pro Ali ialah Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi yang memeluk Islam semata-mata untuk meruntuhkannya dari dalam.

Tetapi dengan berlakunya peristiwa Tahkim tersebut, terpecahlah pengikut-pengikut Ali kepada dua golongan; golongan Syiah yang menyokongnya dan golongan Khawarij yang menentangnya. Mengenai puak Syiah, pokok kepercayaan mereka berasaskan kepada fahaman bahawa Alilah yang lebih berhak menjadi khalifah, sedang Abu Bakar, Umar dan Usman telah merampas hak Ali tersebut. Maka adalah menjadi tugas mereka untuk mengembalikan hak-hak tersebut kepada yang empunya, iaitu keluarga Ali. Bagi mereka, soal Imamiah (kepimpinan) tidak termasuk kepentingan umum yang dapat diserahkan saja kepada rakyat untuk menetapkan siapa yang mereka kehendaki, sebaliknya merupakan ketetapan dari Rasulullah sendiri yang harus diterima sebagai dasar agama. Soal siapa pengganti Rasulullah dikatakan telah diwasiat lebih dulu kepada Ali, seperti yang terdapat pada Hadith ‘Ghadir Khum.’

Ada pun mengenai puak Khawarij, mereka dulunya adalah penyokong Ali juga. Tetapi kerana Ali menerima Tahkim (yang mereka sendiri memaksanya), mereka lalu menentangnya pula. Terdapat khalifah-khalifah sebelumnya, sikap mereka agak moderate. Mereka menyokong Abu Bakar, Umar dan juga tahun-tahun pertama pemerintahan Usman. Malah mereka juga menyokong Ali, tetapi kemudiannya menyalahkannya kerana menerima perundingan, dan kerana Ali dituduh kafir. Mereka juga mengkafirkan Abu Musa AI-Shaari, Amru ibnul-Ass, Muawiyah dan Usman. Mengenai soal pemerintahan, mereka berpendapat bahawa khalifah harus dipilih secara bebas dari segenap rakyat umat Islam; tidak semestinya dari puak Quraisy sahaja. Dan andai kata sudah dipilih maka dia adalah pemimpin umat Islam yang harus tunduk kepada hukum-hukum Allah, dan sekiranya dia menyeleweng dia harus dipecat.

Selain dari kedua-dua mazhab tersebut, timbul juga mazhab Murji’ah. Golongan ini timbul setelah mengetahui bahawa Khawarij mengkafirkan Usman dan Ali serta penyokong-penyokong Tahkim, juga setelah dilihatnya bahawa dalam Syiah juga ada mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Usman dan pengikut-pengikut mereka. Setiap golongan dari umat Islam menganggap bahawa mereka saja yang benar sedangkan golongan lain sesat dan kafir. Maka datanglah aliran Murji’ah yang cuba mengkompromi semua golongan dan tidak mengkafirkan salah satunya. Bagi mereka, baik Syiah, Khawariji mahupun pengikut-pengikut Umayyah adalah orang-orang Mukmin, ada salahnya dan ada benarnya. Mereka tidak menentukan mana yang salah dan mana yang benar, sebaliknya menyerahkan saja kepada Allah. Sebab itulah mereka digelar Murji’ah, yakni golongan yang menangguhkan atau mengakhirkan persoalan-persoalan sehingga Hari Pembalasaan nanti. Antara mereka yang dapat digolongkan dalam puak ini ialah seperti Abi Bakrah, Abdullah bin Umar, Imran bin Al-Hussain dan Saad bin Abi Waqqas. Mereka terdiri daripada golongan yang enggan terlibat dalam penentangan-penentangan yang berlaku pada akhir pemerintahan Usman tersebut.

Demikianlah mazhab-mazhab yang timbul di zaman-zaman akhir Khulafaur-Rashidin. Baik golongan Syiah, Khawarij mahupun Murji’ah, semuanya itu asalnya bersifat politik semata-rnata. Bagaimanapun akhirnya mereka berubah menjadi mazhab agama, lantaran kecenderungan membicarakan soal-soal Aqidah dan Syariat.

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 38 other followers

%d bloggers like this: